Pencen Bukan Soal Umur
Pencen Bukan Soal Umur | Ini antara kesilapan dalam cara saya berfikir masa mula bekerja dulu-dulu. Apabila masuk alam pekerjaan sudah rasa bebas daripada perlu belajar. Bila mind set sudah salah, tindakan saya pun pastinya akan salah.
Tetapi setelah baca tulisan daripada mentor saya ini, mindset saya mula berubah dan mula cuba memperbaiki keadaan diri dan keluarga.
Pencen Bukan Soal Umur, Tetapi Kewangan
Ramai yang meletakkan cita-cita, bila umur dah pencen nanti, dia dah tak perlu bekerja lagi sebab sudah ada pendapatan tetap setiap bukan tanpa perlu lagi bekerja. Maka pada umur pencen, dia dapat menikmati hidup yang bebas!
Anggapan itu bagi saya hanyalah separuh betul bagi kakitangan kerajaan, dan dalam banyak kes terutamanya swasta, ianya mungkin sekadar angan-angan yang tak kesampaian sebab ia sangat bergantung apa yang kita rancangan dan usahakan hari ini.
Bagi sesiapa yang mahu pencen dengan pendapatan ‘pencen’ RM5,000 sebulan hari ini, berdasarkan anggaran saya, dia perlu memiliki aset bernilai sekitar RM1.2 juta. Aset itu mestilah boleh menjana keuntungan dalam bentuk pendapatan sekitar 5% setahun sebagaimana Tabung Haji (atau ASB), rumah sewa ataupun bisnes (yang mempunyai sistem yang kukuh).
Hakikat Pencen
Tak kisahlah berapa pun umur kita, jika kekayaan bersih sudah mencapai RM1.2 juta, maka kita sudah boleh pencen dengan pendapatan tetap RM5,000 sebulan. Sebaliknya sesiapa yang umurnya sudah mencecah 60 tahun sekalipun, tetapi kekayaan masih belum lagi mencecah RM1.2 juta (apatah lagi masih ada hutang yang banyak), dia belum boleh pencen lagi. Dia tetap perlu terus bekerja walaupun usianya sudah mencecah umur pencen!
Hakikat yang kita perlu tahu, pencen bukan soal umur, tapi soal kedudukan kewangan. Kalau kewangan kita sudah kukuh, kita boleh pencen seawal umur 30-an lagi. Masa umur muda inilah sepatutnya kita nikmati kehidupan. Kita ada duit, kita ada masa, dan yang penting, kita masih ada tenaga untuk menikmatinya (insyaAllah).
Nikmat Pencen Ketika Muda
Kalau umur tua baru boleh pencen, masa tu mungkin kita ada duit, tetapi tubuh badan kita mungkin sudah tak larat. Duit banyak, tapi tak boleh bergerak. Duit banyak, tapi hanya mampu makan ubat!
Jadi bagi orang muda, kita masih ada masa dan tenaga. Ubah impian untuk pencen di usia tua, sebaliknya usahakan ‘pencen’ itu ketika usia muda lagi. Fokus betul-betul bina kekayaan, bina kekayaan dengan betul, lepas tu nikmatilah kehidupan, insyaAllah.
Bagaimana caranya?
Pencen dari sudut kewangan dipanggil “financial freedom” atau “bebas kewangan”. Kita ada duit, dan kita ada masa.
Untuk capai tahap “financial freedom”, kita mesti memiliki harta, bukan sekadar ada pendapatan. Pendapatan besar bukan bermakna bebas kewangan, bahkan pendapatan besar itu mungkin menyebabkan jumlah hutang juga turut sama besar! Orang yang bebas kewangan, mereka menjana pendapatan daripada harta, bukan daripada pekerjaan.
Fokus Kekayaan Bersih
Nak kira berapa banyak kekayaan sebenar kita, jumlahkan semua harta yang kita ada tolak dengan semua hutang yang kita tanggung! Kalau jumlah kekayaan bersih mencecah RM1.2 juta, maka kita sudah boleh pencen! Syaratnya, mesti susun semula supaya RM1.2 juta itu diletakkan dalam instrumen kewangan yang boleh menjana pendapatan 5% setahun.
Maka siapa yang betul-betul fokus membina kekayaan sebenar, dia akan berhati-hati untuk buat hutang baru. Bila dia sedar dia perlu cukupkan RM1.2 juta, dia akan pastikan dia mesti simpan sebahagian pendapatan secara berdisiplin setiap bulan. Target dia yang sebenar ialah KEKAYAAN BERSIH (net worth), bukan sekadar gaji yang besar.
Gaji yang besar hanyalah bantu loncatan untuk mencapai matlamat kewangan, bukan dihabiskan untuk bermewah-mewah. Biarlah hidup biasa-biasa dulu, yang penting ‘poket’ kita kaya. Kita orang lain masih terkial-kial, kita sudahpun hidup bebas! InsyaAllah.