Penyimpan Emas Yang Rugi

Penyimpan Emas Yang Rugi | Sebelum memulakan sesuatu tindakan pastikan kita mempunyai ilmu yang mendalam berkenaan dengan perkara tersebut. Pelaburan yang paling berisiko adalah pelaburan tanpa ilmu. Menyimpan emas pada asasnya memang menguntungkan. Tapi tahukah anda ada penyimpan emas yang RUGI? Untuk menjadi simpanan yang berbaloi, anda mesti menyimpan sesuatu yang menguntungkan anda.

Penyimpan Emas Yang Rugi

Penyimpan Emas Yang Rugi

Berikut saya kongsikan apa yang dikatakan penyimpan emas yang Rugi:

1. Menyimpan barang kemas adalah merugikan kerana harga yang mahal dan spread yang besar.
Ramai menyangka, asal emas saja semuanya sama. Maka ramai yang membeli barang kemas dengan niat dan tujuan untuk simpanan masa hadapan. Untuk menjadikan emas sebagai pelaburan yang benar-benar menguntungkan di masa hadapan, kita mesti melihat 2 perkara iaitu harga per gram yang murah dan spread yang nipis.

Kedua-dua ciri di atas tidak ada pada barang kemas kerana upah yang menjadikan harga per gramnya tinggi dan spreadnya yang sangat tebal menyebabkan harga belian balik sangat murah.
Barang kemas memang untuk ditunjuk, bukan untuk menjadikan seseorang itu kaya. Mahal pada harga tapi murah pada nilai. Jadi pilihan membeli barang kemas sebagai instrumen kalis inflasi sebenarnya sangat tidak tepat!

2. Menyimpan emas dalam bentuk akaun emas yang tidak patuh Syariah di bank-bank konvensional.

Ini satu lagi penyakit dalam masyarakat kita iaitu menyimpan emas dalam bentuk akaun bank. Ini dikenali sebagai “paper gold” atau berat emas kita hanya ditunjukkan di atas kertas saja. Walhal kita sebenarnya tidak memiliki emas itu tetapi masih lagi bergantung kepada wang kertas yang sangat rapuh.

Tidak ramai orang yang saya jumpa untung dengan paper gold. Yang rugi memang ramai. Tambahan pula dengan situasi penurunan harga emas dunia dan harga emas harian hanya dikemaskini oleh bank sekali atau 2 kali sehari. Akhirnya ia boleh menyebabkan tuan punya akaun bukan sahaja kehilangan duitnya, malah emas secara fizikal pun tidak dapat dipegangnya kerana ia tidak wujud.

3. Menyimpan emas beserta yuran pendaftaran atau yuran keahlian.

Ada program atau perniagaan emas yang memperkenalkan yuran keahlian kepada pelanggannya dengan alasan sekiranya berdaftar sebagai ahli akan memperolehi pelbagai keistimewaan seperti harga murah, bonus belian dan sebagainya. Banyak perkara yang perlu anda awasi, antaranya :

i. Sepatutnya dengan nilai penyertaan itu anda sudah mendapat sekian banyak gram emas tetapi apa yang anda dapat hanyalah nombor keahlian untuk belian masa depan yang belum pasti lagi samada anda akan membeli lagi atau tidak. Ini bermakna anda telah buang duit anda tanpa sebarang keperluan yang munasabah.

ii. Zaman moden yang serba canggih ini, segala maklumat berada di hujung jari anda. Klik saja Google Search, anda sudah boleh membandingkan harga di 3 atau 4 syarikat pengeluar emas. Betulkah harga yang akan anda dapat nanti harga terendah? Itu jawapan yang anda akan perolehi apabila anda mula membuat perbandingan. Sekiranya ada syarikat lain yang menawarkan harga lebih rendah tanpa sebarang yuran keahlian, anda sudah tentunya mengalami kerugian yang berulang kali.

4. Menyimpan emas dalam program skim cepat kaya emas.

Selain salah dari sudut undang-undang, skim cepat kaya juga berisiko dari sudut operasi dan kepatuhannya pada Syariah. Walaupun skim seperti ini berulang kali diwujudkan, masyarakat seolah-olah tidak pernah serik-serik. Ini semua kerana mata mereka kelabu dengan untung dan pulangan tetap tinggi setiap bulan. Sedangkan itu semua adalah daya penarik semata-mata dan pusingan dari modal yang dikeluarkan oleh pelabur.

Kata orang cerdik pandai, pulangan tersebut ialah “too good to be true”. Sebagai contoh ada pelaburan emas delay yang menawarkan pulangan sehingga 30% SEBULAN! Ini memang tidak masuk akal. Pelaburan terbaik di Malaysia pun hanya menjana sekitar 10% ke 15% keuntungan SETAHUN. Dan pengurus dana terhebat di dunia pun hanya menjamin sekitar 20% ke 25% untung atau pulangan pelaburan SETAHUN.

5. Menyimpan emas yang berharga lebih mahal juga merugikan kerana setiap kali anda membeli, anda akan membelanjakan lebih duit tanpa apa-apa faedah.

Bayangkan jika harga segram emas terendah ialah RM176, tetapi anda membeli dengan kedai yang menjual dengan harga RM188 segram. Berapa RM anda rugi setiap kali membeli?

Bayangkan jika 10 kali belian. Bagaimana pula jika 1000 kali belian? Anda rugi RM12000!!!!