Mengajar Anak Mengenal Emosi Dan Perasaan
Bayangkan diri kita dalam perasaan marah. Kita orang dewasa tahu kita sedang merasakan sesuatu yang kuat seperti gunung berapi yang akan meletus tetapi kita tidak dapat menyatakannya. Kita tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkan apa yang kita rasakan.
Masa itu mungkin kita akan mula bertindak atau meluahkan perasaan marah itu dengan menghentak kaki, memecahkan barang, memukul dan lain-lain lagi. Dan ketika itu juga orang sekeliling kita masih tidak faham mengapa kita bertindak sampai begitu sekali dan kita mungkin akan mengalami perasaan lain pula seperti kecewa.
Anak-anak kita juga mempunyai emosi yang sama dengan orang dewasa. Tetapi anak-anak kita tidak mempunyai perbendaharaan kata untuk mereka meluahkan apa yang mereka rasakan.
Anak-anak dilahirkan seperti kain putih dan terserah kepada kita sebagai ibu bapa untuk mencorakkannya. Ini termasuk juga bagaimana kita mencorakkan anak-anak kita bagaimana untuk mengekspresikan perasaan dan emosi mereka.
Kemahiran yang ibubapa ajarkan kepada mereka akan banyak membantu dan mempengaruhi mereka ketika mereka dewasa kelak. Itulah sebabnya mengajar anak-anak kita mengenai emosi dan perasaan sangat penting.
Anak-anak tidak dapat mengenali apa yang mereka rasakan di dalam hati mereka tetapi ini tidak bermaksud mereka tidak merasa perasaan marah, sedih, suka dan lain-lain. Semua perasaan itu sama sahaja seperti orang dewasa. Anak-anak kita perlu di ajar memahami apa yang mereka rasakan dan perkataan yang paling tepat menggambarkannya. Di sinilah peranan kita sebagai ibubapa untuk mengajar dan mencorakkannya.
Anak-anak pada usia dua tahun, sudah mula menyerap atau mempelajari sesuatu daripada deria mereka. Jangan berfikir terlalu awal untuk mengajar mereka bagaimana meluahkan emosi dan perasaan dengan kata-kata dan bukannya tingkah laku terutamanya tingkah laku negatif. Kita sebagai ibubapa boleh bermula dengan mengajar emosi asas kepada anak-anak kita seperti gembira, sedih, marah dan takut.

Menurut artikel “Teaching Your Child About Emotions” pada usia empat hingga enam tahun, kebanyakan anak dapat mengenali dan memahami emosi asas iaitu gembira, sedih, marah dan takut. Emosi yang lebih kompleks (seperti sombong, rasa bersalah, dan rasa malu) dibina berdasarkan emosi asas. Anak-anak harus mempunyai pemahaman yang baik tentang emosi asas sebelum dia diperkenalkan dengan emosi yang lebih kompleks.
Abang Red berikan beberapa contoh cara untuk mengajar anak-anak mengenal emosi dan perasaan:
1. Namakan Perasaan dan emosi itu.
Setiap kali melihat anak Aban Red beremosi, itulah masanya untuk mula mengajar dan menamakan perasaan dan emosi mereka. Katakan ketika Nampak Muadz membaling-baling mainannya dan mula menghentakkan kakinya dan Abang Red macam boleh melihat asap keluar dari telinganya.
Cara terbaik untuk mengajar anak-anak kita tentang emosinya adalah dengan menamakan perasaan itu.Sebagai contoh “Abang Muadz marah dengan Angah Urwah ker sampai baling-baling mainan ni? ” Kita meletakkan nama untuk perasaan yang sedang dia alami itu, dan anak kita secara langsung akan dapat mengakses perbendaharaan kata untuk tingkah lakunya itu.
2. Gunakan Watak Dari Rancangan TV Kegemaran atau Filem mereka.
Sebagai contoh, Anak Abang Red suka menonton Ejen Ali. Ketika menonton filem Ejen Ali dan pada babak Ejen Ali sedang marah, kita boleh tanya kepada anak kita “Ejen Ali tengah marah ker tu?” atau “Abang Muadz, kenapa Ejen Ali marah-marah tu?”
3. Ajar Dengan Lagu yang Menerangkan tentang Perasaan
Contohnya, Lagu yang biasa kita dengar dan nyanyikan “Jika anda gembira tepuk tangan.”
5. Labelkan Perasaan Anda Sendiri
6. Jelaskan Emosi Orang Lain yang Berada disekeliling kita
Akhir kata, dengan mengajar anak-anak kita tentang perasaan atau emosi mereka dan kata-kata apa yang seharusnya mereka gunakan untuk menggambarkannya, ianya akan membuka dunia baru bagi mereka.
Apabila kita meluangkan masa dan berusaha untuk menjelaskan apa itu perasaan dan emosi, kita sedang memenuhkan tangki kejayaan untuk anak kita. Ianya akan menjadikan anak yang kuat dari segi mental yang akan membesar menjadi orang dewasa yang kuat dari segi mental. Dan sebagai ibu bapa, itulah yang kita semua cita-citakan!
Mohd Redzuan Dolah
Sungai Petani, Kedah
13/1/2021